Tuesday, January 26, 2010

Tujuan hidup….


Hakikat kita semua dicipta berupa ciptaan yang sangat cantik dan sempurna dari makhluk Allah yang lain cukup untuk menjadikan manusia itu digelar sebagai seorang yang sempurna berbanding yang lain. Lantas apakah masih ada yang tidak mahu bersyukur atas kurniaan Allah yang cukup hebat ini?? Walau dengan ucapan Alhamdulillah? Allah, terima kasih atas setiap anugerah yag telah kau berikan pada kami. Melihatkan usia dunia yang makin tua ini sangat menggerunkan aku. Cukuplah jika aku katakan aku sebenarnya berasa sangat takut untuk berhadapan dengan dunia luar yang pastinya mencabar. Bertahun aku menghabiskan sisa di dunia kampus kadangkala menjadikan aku lupa bahawa pada suatu hari aku akan menapak ke dunia luar yang jauh lebih mencabar. Persoalan yang seringkali terlintas adalah mampukah aku menggalas tanggungjawab itu. Beban yang ku pikul bukan hanya kepada masyarakat secara amnya, tetapi lebih kepada sumbangan yang mungkin dapat ku berikan pada muslim dan Islam khususnya. Allah berfirman di dalam surah al-insyirah “setiap kesusahan pasti diiringi dengan kesenangan”.Seharusnya aku tidak perlu risau dengan segala kemungkinan yang bakal melanda namun aku juga manusia biasa. Aku tidak mahu menjadi seperti mereka yang menghabiskan segalanya untuk mengumpul saham dunia kerana apa yang pasti saham akhirat lah merupakan asset yang paling penting untuk dicari dan dibawa pergi semasa mati. Dalam kehidupan manusia ada beberapa langkah yang telah sedia dilakar iaitu arah,tujuan,jalan, bekalan,halangan dan kematian. Lantas, apakah perancangan kita setelah mengetahui semua ini pasti akan kita tempuhi dalam meniti fasa kehidupan di dunia ini? Kita tidak boleh jadi lemah apabila mengetahui yang kita akan mati suatu hari nanti dan kita juga tidak boleh berasa takut untuk meninggalkan dunia yang sifatnya tidak kekal ini. Aku merasakan usia kita sebenrnya tidak panjang, dan adanya kita di dunia ini hanya merupakan satu persinggahan yang sementara sahaja. Kita harus merancang harus bagaimana kita menjadi individu muslim yang sesempurna mungkin, kemudian melangkah pula pada rumahtangga muslim, seterusnya membentuk satu masyarakat muslim yang mengamalkan amr ma’ruf nahi mungkar, dan seterusnya membentuk negara islam yang dirahmati Allah. Nampak mudah bukan menyenaraikan fasa-fasa yang perlu kita bentuk namun apa yang pasti untuk Berjaya sampai ke tahap semua ini memerlukan satu pengorbanan yang besar dan semangat yang utuh. Aku percaya jika kebanyakan dari kita yang memahami apa sebenarnya tanggungjawab yang perlu kita selesaikan matlamat ini pasti akan Berjaya. Mungkin kita tidak dapat melihat hasilnya namun tak mustahil dengan berteraskan iman yang kukuh hanya kerana Allah, generasi akan datang yang meneruskan perjuangan ini dapat merealisasikannya.

















No comments: